Rakyat Tidak Selera Undi BN: Nik Aziz


KOTA BHARU – Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) boleh memberikan pelbagai dalih untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada hujung bulan ini.

Namun hakikatnya, kata Mursyidul Am Pas itu, keputusan yang dibuat membuktikan parti itu tidak lagi menjadi pilihan rakyat.

“BN memberikan bermacam-macam dalih. Masyarakat sudah tidak berselera untuk memilih atau mengundi BN sekarang.

“Selera masyarakat sudah hilang untuk pilih BN. Tidak kira apa bangsa sekalipun Cina, India dan Melayu sendiri pun sudah banyak beralih pada parti lain,” kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan BN yang tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil DUN Penanti selepas penyandang kerusi itu, Mohamad Fairus Khairuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang melepaskan jawatannya bulan lalu.

Minggu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan BN tidak akan meletakkan calon bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Penanti.

Sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan calon mereka iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, manakala bekas ketua wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah bertanding sebagai calon Bebas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Menteri Besar Kelantan itu turut menyarankan supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap mat rempit.

Menurutnya, negara perlu mempunyai undang-undang lebih berat sehingga mereka yang terbabit takut melakukan jenayah itu.

Beliau mengulas cadangan polis agar istilah mat rempit ditukar kepada samseng jalanan dan kesalahan itu dikenakan hukuman berat.

Kelmarin, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, gelaran samseng jalanan lebih sesuai kerana kelakuan ganas mat rempit mengancam nyawa orang lain.

Sumber: Sinar Harian

Comments