Rakyat Mengundi, Pegawai Tidur

Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel) melaporkan dalam laman webnya bahawa pegawai tempat mengundi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Tanah Liat tertidur kerana kurang pengundi.

Mafrel melaporkan perkara perkara pada jam 3.51 petang dalam laman webnya bersama foto pegawai yang tertidur itu.

Menurut Mafrel, keadaan mungkin gambaran terbaik mengenai kelembapan proses pengundian dalam pilihanraya kecil DUN Penanti hari ini.

Jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti sehingga jam 4 petang ialah 44.36 peratus atau 6,824 orang, demikian menurut Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti sehingga jam 3 petang ialah 42.2 peratus atau 6,492 orang; 38.77 peratus atau 5,964 orang (2 petang); 29.86 peratus atau 4,593 orang (12 tengahari); 23.5 peratus atau 3,590 orang (jam 11 pagi) dan 14.6 peratus pada jam 10 pagi tadi.

SPR mensasarkan sebanyak 70 peratus daripada 15,385 pemilih akan keluar mengundi dalam pilihanraya kecil hari ini.

Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Penanti bermula jam 8 pagi tadi. Sebanyak 32 saluran mengundi di sembilan pusat pengundian. Lapan daripada pusat tersebut ditempatkan di sekolah dan sebuah lagi di dewan orang ramai.

Pusat-pusat mengundi itu ialah SMK Guar Perahu (empat saluran), SK Guar Perahu (lima), Dewan Orang Ramai Kampung Tun Sardon, Ara Kuda (satu), SK Mengkuang (empat), SJK (C) Perkampungan Sungai Lembu (satu), SMK Mengkuang (tiga).

SMK Penanti (tiga saluran), SK Tanah Liat (lapan) dan SRJK(C) Jit Sin (A) Jalan Berapit mempunyai tiga saluran.

Kerusi DUN Penanti kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu, selepas melepaskan jawatan timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang seminggu sebelumnya.

kerusi dun penanti pulau pinang 200409Dalam pilihanraya umum lalu, Fairus dari PKR mendapat 7,346 undi, menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Majid yang mendapat 5,127 undi.

BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil hari ini. Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

BN memutuskan tidak meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut atas alasan kekosongan kerusi tersebut adalah usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

BN juga mendakwa pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

Sumber: Malaysiakini

Comments