PR Mahu Perjuangan Ikhlas

Tindakan Pakatan Rakyat (PR) yang mahu mengadakan mogok lapar dianggap strategi baru untuk mendapatkan simpati rakyat.

Pensyarah Sains Politik Universiti Malaya, Bala Karishnan R K Suppaiah berkata, tindakan yang diambil itu bagi membolehkan PR menguasai semula Perak walaupun kelihatannya agak terdesak.

Menurutnya, PR seolah-olah mahu rakyat berpandangan negatif kepada Barisan Nasional (BN) walaupun Mahkamah Rayuan sudah membuat keputusan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar yang sah.

“PR Perak masih beranggapan bahawa keputusan mahkamah terdahulu lebih benar. Rancangan mogok lapar yang cuba dilakukan juga seolah-olah ingin memberi gambaran bahawa parti mereka adalah benar-benar ikhlas untuk memimpin rakyat di negeri tersebut,” katanya.

Karishnan berkata, tindakan tersebut akan memberi tekanan kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang sebenar bagi memimpin kerajaan Perak yang kebelakangan ini tidak stabil.

Menurutnya, tindakan tersebut merupakan satu alternatif yang telah digunakan oleh parti politik di negara luar terutama India untuk meraih simpati rakyat.

“Strategi baru ini sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawa selepas campur tangan Sultan dalam pemilihan Zambry sebagai Menteri Besar Perak, PR masih tidak berpuas hati terhadap BN," katanya.

Karishnan berkata, pihak pembangkang perlu akur dan menghormati keputusan mahkamah setelah keputusan melantik Zamry sebagai Menteri Besar oleh Mahkamah Rayuan diputuskan kelmarin adalah sah.

Menurutnya, sekiranya keputusan tersebut masih dianggap tidak sesuai, maka cara terakhir untuk menyelesaikannya adalah dengan mengadakan pilihan raya semula.

Sumber: Sinar Harian

Comments