PKR Nafi Tuduhan Aminah

PKR hari ini menafikan dakwaan seorang daripada calon Bebas pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bahawa parti itu memujuk atau memberi ganjaran kepada calon Bebas supaya menarik diri daripada bertanding dalam pilihanraya kecil itu 31 Mei ini.

Ketua Penerangan PKR Tian Chua mencabar mana-mana calon Bebas yang bertanding, termasuk Aminah Abdullah yang membuat dakwaan itu supaya mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jika benar wujud penyelewengan sedemikian.

"Jika ada sebarang bukti bahawa ada pemimpin atau mana-mana daripada kami (PKR) menawarkan ganjaran kewangan, laporkan kepada SPRM atau SPR," katanya kepada pemberita hari ini, lapor Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Aminah semalam yang mendakwa akan mendedahkan bukti bahawa PKR cuba memberi ganjaran kepadanya supaya menarik diri daripada bertanding pada pilihanraya kecil itu yang akan menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Aminah, 57, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, adalah seorang daripada tiga calon Bebas yang akan bertanding. Dua calon lain ialah Pengurus syarikat yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan cawangan Telok Wang, Penanti, Nai-Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Pengurus pilihanraya kecil Penanti dari PKR, Nasaruddin Nasution berkata, dakwaan Aminah itu mungkin disebabkan rasa tidak puas hati dengan mana-mana pihak dalam parti.

Sumber: Malaysiakini

Comments