Pas sedia disiasat SPRM


KOTA BHARU – Pas sedia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya ada laporan mengenai salah laku, penyelewengan, kronisme atau amalan politik wang.

Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sesiapa sahaja boleh membuat laporan kepada SPRM sekiranya dirasakan ada salah laku, ada penyelewengan dalam mana-mana organisasi termasuk Pas.

“Hal ini adalah satu perkara biasa. Pas pun pernah ada orang buat laporan kepada SPRM sebagai contoh Perbadanan Menteri Besar dulu ada orang buat laporan kepada SPRM. SPRM siasat.

“Jadi saya rasa sama juga dalam Pas kalau ada orang yang tak puas hati mengenai kononnya ada amalan politik wang atau penyelewengan, rasuah politik dalam Pas. Siapa sahaja bebas membuat laporan kepada SPRM. Itu dasar kita. Menteri Besar kita pun dasar terbuka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan SPRM tidak akan menimbulkan masalah kerana sesiapa sahaja boleh buat laporan pada bila-bila masa sekiranya mereka rasa berlakunya gejala rasuah atau politik wang di dalam Pas.

“Pas sedia disiasat termasuk dalam isu kronisme. Kroni ini orang terdekat, kalau kroni dan ia memenuhi syarat, boleh diteruskan. Orang UMNO pun kalau memenuhi syarat boleh.

“Sebab itulah saya kata Pas bersedia disiasat. Daripada asal kita jadi kerajaan tahun 1990 sampai sekarang pintu kerajaan dan begitu juga saya percaya parti terbuka kepada siasatan. Kita telus. Tidak ada nak sembunyi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya siasatan yang dilakukan terbukti sebarang tindakan boleh diambil bagi mereka yang terbabit.

Sumber: Sinar Harian

Comments