Nizar Tidak Bertanding?

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak bertanding: bagi jawatan Naib Presiden Pas pada muktamar agung parti itu di Shah Alam, Selangor, Jun depan.

Bagaimanapun beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak menerima pencalonan merebut jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.

Pengumuman senarai penuh calon layak merebut jawatan tertinggi Pas dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustafa Ali yang diadakan di Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut di sini, semalam.

Mustafa berkata, daripada senarai 16 yang dicalonkan jawatan Naib Presiden, hanya lima tokoh Pas memberi jawapan bersaing bagi jawatan tersebut.

“Mereka terdiri Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Dr Mujahid Yusof Rawa, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Nik Mohd Amar Nik Abdullah, Ketua Pemuda, Salahuddin Ayub dan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,” katanya.

Selain itu katanya, seramai 54 daripada 86 ahli parti dicalonkan pemimpin kawasan akan bersaing untuk 18 tempat dalam jawatan AJK Pas Pusat.

Dua daripada Naib Presiden sekarang, Datuk Husam Musa dan Mohammad Sabu masing-masing mengambil keputusan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas bersaing dengan penyandangnya Nasharuddin Mat Isa.

Bagi jawatan Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan menang tanpa bertanding manakala dua jawatan kanan sayap parti tu turut tidak menerima tentangan, masing-masing Azman Shapawi Abd Rani sebagai Timbalan Ketua dan Ahmad Sabki Yusof, Naib Ketua.

Dalam pada itu, Mustafa yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas berkata, calon yang layak bertanding dalam pemilihan kali ini bebas berkempen mengikut kehendak dan cara masing-masing.

Namun katanya, sudah menjadi tradisi kepada Pas bahawa calon yang berlebihan berkempen untuk mendapatkan undi akan ditolak seterusnya mengalami kekalahan.

“Dalam soal ini, pemimpin Pas sentiasa beretika dalam melakukan tindakannya, gejala negatif semestinya tidak berlaku dalam pemilihan ini, bukan sahaja Pas malah (parti) yang lain juga tidak suka jika perkara itu berlaku,” katanya.

Mustafa berkata, pemilihan kepimpinan Dewan Ulama Pas pula menyaksikan Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu Datuk Harun Taib, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dan Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua.

Bagi Dewan Muslimat Pas, Noraini Hussin dan Nor Hashimah Deraman bertanding bagi jawatan Pengerusi Tetap, Faizah Ismail dan Wan Hamidani Wan Ahmad bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap, Dr Asiah Ali dan Nuridah Mohd Salleh untuk jawatan ketua dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff serta Wan Hasrina Wan Hassan (penyandang) bagi Timbalan Ketua manakala Senator Mumtaz Md Nawi dipilih sebagai Naib Ketua tanpa bertanding.

Sumber: Sinar Harian

Comments