Minah Serah Bukti?

Calon Bebas bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Aminah Abdullah menyerahkan cakera padat (CD) rakaman perbualan dan tiga keping gambar pertemuannya dengan dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri jam 11.10 pagi semalam.

Bukti-bukti itu diserahkan kepada Ketua Pembantu Tadbir Pengurusan SPR negeri, Noormah Shaari, yang mewakili Pengarah SPR negeri, Morat Pora.

Aminah, 56, atau lebih dikenali sebagai Kak Min ketika ditemui berkata, rakaman dan gambar pertemuannya itu diserahkan kepada :SPR untuk dibuat pertimbangan dan akan dilanjutkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya tidak akan mendedahkan nama dua pemimpin PKR itu kerana pendedahan ini bukan disebabkan mereka, tetapi atas cabaran Pengerusi Perhubungan PKR negeri, Datuk Zahrain Mohamad Hashim. Saya serahkan kepada SPR dan SPRM menyiasat perkara ini.

“Meskipun mereka berdua merupakan rakan baik saya, tetapi disebabkan faktor keselamatan saya telah merakam perbualan itu dan ia tiada kena mengena dalam isu menderhaka kepada kawan,” katanya semalam.

Ketika diminta mengulas mengenai nama Ahli Majlis Tertinggi PKR, Cheah Kah Peng yang disebut-sebut dalam rakaman itu, Aminah tidak menolak andaian pihak media jika individu dimaksudkan itu merupakan salah seorang dari dua waki:l PKR yang menemuinya.

Mengulas lanjut mengenai pertemuannya dengan SPRM kelmarin, Aminah berkata, kehadiran beliau ke pejabat SPRM adalah atas arahan pihak SPRM sendiri.

“Saya telah berada di sana sejak 4.30 petang dan selepas didesak beberapa kali, sa:ya hanya dibenarkan pulang kira-kira jam 10.30 malam.

“Keterangan saya semalam (kelmarin) hanya mengenai latar belakang dan identiti diri manakala saya a:kan pergi ke pejabat SPRM lagi hari ini untuk keterangan lebih terperinci,” katanya.

Menurutnya, SPRM telah memuat turun tiga keping gambar pertemuannya dengan dua wakil PKR itu melalui khidmat :bluetooth: dari telefon bimbitnya manakala alat perakam MP4 yang digunakan untuk merakam perbualan pertemuan kedua dan ketiga itu bersama sekeping CD mengandungi rakaman perbualan diserahkan kepada suruhanjaya itu.

Sumber: Sinar Harian

Comments