Lima Peguam Dipanggil ke Balai Polis

Lima peguam yang ditahan dalam satu perhimpunan di depan ibu pejabat polis daerah Brickfields dua minggu lepas diarahkan hadir melaporkan diri di balai yang sama jam 10 pagi esok.

Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman, Ravinder Singh Dhalliwal dan Syuhaini Safwan - semuanya anggota pusat bantuan guaman Majlis Peguam - ditahan 7 Mei lalu.

Semua mereka dibebaskan petang keesokannya.

Mereka ditahan pada hari persidangan DUN Perak dalam perhimpunan sekumpulan aktivis membantah penangkapan Wong Chin Huat, seorang jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), yang menganjurkan orang ramai memprotes persidangan itu dengan berpakaian hitam.

Wong ditahan selepas melancarkan kempen "1Black Malaysia" dan ditahan reman selama tiga hari di balai polis tersebut.

Kelima-lima peguam itu ditahan sewaktu cuba mendapatkan akses untuk mewakili 15 lagi yang ditahan lebih awal pada malam perhimpunan nyalaan lilin tersebut di tempat yang sama.

Susulan penahanan mereka, Majlis Peguam memanggil mesyuarat agung tergempar minggu lalu sebagai tanda bantahan dan meluluskan usul mendesak peletakan jawatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menurut satu kenyataan badan profesional tersebut petang ini, penafian hak guaman itu bercanggahan dengan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Selain diiringi peguam masing-masing, kelima-lima peguam dijangka diiring sekumpulan rakan profesional di depan balai polis tersebut.

Sumber: Malaysiakini

Comments