Keputusan Tidak Boleh Dipertikai

Selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan syarak, keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS Pusat tidak boleh dipertikaikan, demikian ujar Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Hashim Jasin.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat di Dewan Bandaran Ipoh, petang ini.

"Apa jua pandangan dan pertikaian ataupun hendak mengubah keputusan yang hendak dibuat selagi mana ianya tidak bercanggah dengan Al-Quran dan syarak ianya tidak boleh dibantah," tegasnya.

Hashim meminta semua pemimpin parti berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu sebarang isu berbangkit sebelum membuat sebarang kenyataan mahupun pendirian.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap keputusan institusi istana yang memberi keizinan kepada dua pemimpin tertinggi PAS, iaitu Mursyidul Am Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden parti, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk menyampaikan khutbah di masjid tertentu esok.

"Kita mendapat maklumat bahawa dipercayai terdapat 'tangan ghaib' yang mengganggu usaha pimpinan kita menyampaikan khutbah di sini(Perak) esok.

"Ia mungkin halangan daripada pihak Umno yang tidak senang dengan keputusan pihak istana yang membuka ruang kepada PAS," katanya lagi.

Bekas calon Sanglang itu turut memuji mutu perbahasan perwakilan ulama pada kali ini yang disifatkan semakin matang dalam membincangkan isu-isu semasa.

"Saya lihat mutu perbahasan meningkat yang sekaligus membuktikan perwakilan kita semakin matang," ujarnya.

Tinjauan juga mendapati persidangan muktamar ulama pada kali ini mencatatkan pertambahan bilangan pemerhati selain perwakilan tetap daripada negeri-negeri.

Para pemerhati kelihatan tidak berganjak meskipun pada kebiasaannya ianya berkurangan pada sesi petang yang menginjak ke agenda penggulungan.

Sumber: Harakahdaily

Comments