BN vs Ketua Kampung?

Ketua-ketua Kampung yang dilantik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat seluruh Perak telah menfailkan saman ke atas Kerajaan Negeri Perak semalam di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Saman tersebut telah dikemukakan oleh Mohd Ridzuan Asit yang mewakili kesemua Ketua Kampung seluruh Perak.

Semasa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak mentadbir negeri ini seramai 817 orang ketua kampung seluruh Perak telah dilantik setelah ketua kampung yang lama meletakkan jawatan.

Semua ketua kampung telahpun dilantik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat pada 7 Ogos 2008 sehingga 31 Julai 2010.

Namun begitu apabila rampasan kuasa berlaku di negeri ini oleh Umno/BN perkhidmatan seluruh ketua kampung di negeri ini telah ditamatkan berkuatkuasa pada 16.4.2009 yang lalu.

Dalam saman yang dikemukakan oleh ketua-ketua kampung, mereka menuntut perintah bagi membatalkan tindakan kerajaan menamatkan perkhidmatan mereka,

Ketua-ketua kampung juga menuntut perintah mandamus yang mewajibkan kerajaan untuk melantik semula Ketua-ketua Kampung,

Mereka juga menuntut perintah deklarasi bahawa pemecatan atau penamatan perkhidmatan tersebut adalah batal dan tidak sah.

Dalam saman itu juga mereka menuntut perintah injunksi untuk melarang kerajaan dari melantik sesiapa yang lain sebagai Ketua Kampung.

Ketua-ketua kampung itu juga menuntut injunksi untuk melarang kerajaan dari membenarkan Dewan Orang Ramai dalam semua kampong dari digunakan oleh BN semata-mata.

Mereka juga menuntut ganti rugi punitif, keterlaluan dan teladan untuk dibayar kepada pemohon dan menuntut suatu siasatan dan taksiran ganti rugi kepada pemohon.

Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaludin Dato' Ngeh Ko Ham, Adun Lubuk Merrbau, Zainuddin Yusof dan Adun Pakatan Rakyat serta pimpinan Pakatan Rakyat yang lain turut hadir memberi sokongan moral dan semangat kepada ketua-ketua kampung.

Sumber: Harakahdaily

Comments