Pengikut Blog

Peringatan Dari Langit

Bebas Kata Ya, PKR Kata Tidak...

Thursday, 28 May 2009

Dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan mereka telah menawarkan ganjaran dalam bentuk ganti rugi kepada calon Bebas, Aminah Abdullah jika sanggup tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Kedua-dua pemimpin berkenaan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Cheah Ka Peng, 43, dan Pegawai Khas kepada Exco PKR Pulau Pinang, Peter Lim Eng Nam, 32, mengaku mereka adalah dua individu yang terdapat dalam rakaman suara yang didedahkan oleh Aminah 25 Mei lalu.

"Kami tidak menawarkan apa-apa kepadanya... hanya berbincang perkara-perkara biasa," kata Cheah pada sidang media khas bagi menjelaskan mengenai isu tersebut di sini, 25 Mei lalu.

Selain itu mereka juga menafikan dakwaan Aminah bahawa kedua-dua mereka datang menemuinya. Sebaliknya mereka menjelaskan pertemuan pada 13 Mei itu telah diatur oleh Aminah sendiri.

"Kak Minah (Aminah) sebelum ini selalu jemput saya datang ke rumahnya... jadi pada 12 Mei saya hubungi beliau untuk aturkan makan tengah hari keesokkan harinya dan Kak Minah minta saya ajak (Cheah) Ka Peng bersama.

"Kemudian pada pagi 13 Mei, Kak Minah hubungi saya semula untuk pastikan mengenai temu janji pada tengah hari itu. Beliau kata akan masak untuk kami, saya tak jangka kawan baik seperti kami telah digunakan dan dipermainkan oleh beliau.

"Beliau bukan hanya sediakan makanan, tapi juga sediakan perakam suara untuk kami... saya sangat sedih dan kecewa," kata Peter dalam sidang media tersebut.

Peter adalah Timbalan Ketua PKR Bahagian Batu kawan yang juga Pembantu Khas kepada Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Law Choo Kiang. Beliau juga pernah bertanding di DUN Batu Maung pada pilihan raya umum 2004.

Pada 25 Mei lalu, Aminah mendedahkan bukti berbentuk rakaman audio perbualan antara beliau bersama dua wakil PKR yang cuba menawarkan ganjaran kepadanya termasuk wang sebanyak RM80,000 dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Bagaimanapun mereka enggan mengulas apabila ditanya mengenai kandungan rakaman tersebut yang menyentuh mengenai tawaran-tawaran tersebut.

"Itu (tawaran) apa yang awak fikir, apa yang awak tafsirkan. Mengapa anda tidak tanya beliau sendiri memandangkan beliau yang bangkitkan mengenai perkara ini," kata Cheah yang juga seorang peguam.

Katanya lagi perkara tersebut diserahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut.

"Kami sudah berbincang dengan peguam, dan mereka akan selesaikan perkara ini," kata Chah.

Dalam sidang media itu juga Cheah menegaskan bahawa kehadiran beliau bersama Peter bukan mewakili KeADILan, sebaliknya atas kapasiti sebagai kenalan lama.

"Kami hadir dengan kehendak sendiri, bukan atas dorongan sesiapa dari parti," katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai pertemuan tersebut, Cheah berkata Aminah menunjukkan hasrat untuk kembali menyertai KeADILan.

"Beliau juga nyatakan mungkin tidak akan teruskan untuk bertanding sebagai calon, dia tanya sama ada perlu atau tidak untuk teruskan. Dia jemput kita untuk beri pandangan, kita kongsi pandangan kita sahaja... kami bercerita sebagai kawan dalam keadaan bergurau," katanya yang mengakui mengenali Aminah dan keluarga sejak tahun 1999.

Ditanya sama ada beliau akan terus menjalinkan persahabatan bersama Aminah dan keluarganya selepas isu ini dibangkitkan, beliau berkata "Kami masih kawan, tapi perasaan saya kini bercampur."

0 comments:

Sahabat Singgahan

Nuffnang

Malaysiakini

KeadilanDaily

UMNO Online

Utusan Online

Kosmo Online

 
 
 

Top 10 Blog Sahabat