Akui Jumpa Aminah (Calon Bebas)

Dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menafikan pernah berjumpa calon Bebas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Aminah Abdullah tetapi tidak menawarkan ganjaran wang serta jawatan kepadanya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Cheah Kah Peng berkata, perjumpaan itu dibuat berdasarkan hubungan rapat atas kapasiti individu dan bukan mewakili parti.

"Saya tidak pernah menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) atau bayaran ganti rugi RM80,000 jika menarik diri daripada pilihan raya kecil DUN Penanti. Apa dibualkan disalah tafsir dan terkeluar daripada konteks sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata, mereka berbual bermacam-macam perkara termasuk politik dan hanya menjawab apa ditanya Aminah serta tidak berjanji apa-apa ganjaran.

Menurutnya, hubungan mereka memang rapat kerana sudah mengenali antara satu sama lain lebih 10 tahun rapat kerana sama-sama berjuang sejak awal penubuhan parti KeAdilan.

Peng mengakui datang ke rumah calon Bebas itu di Jelutong setelah dijemput makan tengah hari sebagai memenuhi undangan rakan lama bersama Peter Lim.

“Saya dan Peter Lim sudah mengenali Kak Min ketika sama-sama berjuang dalam parti. Ini bukan kali pertama kali kami datang ke rumahnya dan kali terakhir Mac lalu.

“Kami masih berkawan dan berjumpa dengan Kak Min walaupun beliau sudah keluar parti. Kami datang dan makan dalam suasana yang riang dan gembira seperti kawan sudah lama tidak berjumpa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Comments